Manusia cenderung kepada mentaksubi keupayaan pemimpin kegemaran sendiri, memandang rendah unsur-unsur sebenar yang diperlukan bagi memimpin serta terus berharap dengan sia-sia bahawa seorang adiwira dengan kebolehan ajaib akan muncul dan menyelesaikan semua masalah yang kita hadapi. Kesilapan dalam pertimbangan ini berterusan bukan sahaja kerana kita sekadar manusia biasa, tetapi juga kerana persepsi dan cara kita mengolah idea sangat dipengaruhi oleh kelaziman budaya popular dalam kehidupan seharian kita.
Para saintis tingkah laku merujuk kepada fenomena di atas sebagai "cognitive bias"; Prof. Martin F. Kaplan dan Prof. Steven Schwartz telah mengumpulkan sebuah koleksi penyelidikan mengenai topik ini pada tahun 70an (ISBN 9780123972507) yang masih membawa nilai ilmiah yang sangat berharga hingga ke hari ini. Dalam istilah yang paling mudah, "cognitive bias" merujuk kepada penyesuaian persepsi manusia dan bagaimana manusia memahami dunia sekelilingnya. Proses pelaziman ini boleh berlaku melalui pendedahan yang berulang, dan pada zaman media sosial ini pendedahan sedemikian berpotensi berlaku secara berterusan tanpa henti. Memandangkan kepelbagaian kandungan media sosial adalah umpama metafor sekotak coklat yang sering disebut oleh bonda kepada Forrest Gump, baik dalam aspek positif mahupun negatif, dan menyedari bahawa algoritma yang digunakan oleh platform media sosial bertujuan untuk melonjakkan penglibatan setiap peserta tanpa mengira sebarang kos kepada nurani manusia dan perpaduan masyarakat secara amnya, kita boleh menjangkakan herotan dan salah tanggapan pada pendapat umum akan kekal berterusan.
Ini bermakna setiap bentuk stereotaip, sama ada berasaskan jantina, bangsa, umur, demografik ekonomi atau sebarang unsur perbezaan lain yang direka, akan terus berkembang baik di media sosial mahupun dalam nurani manusia. Maklumat yang salah atau "fake news" akan terus berakar umbi di kalangan sebilangan besar pihak awam kerana cukup ramai yang sentiasa terdedah kepadanya setiap hari. Inilah juga sebabnya mentaliti umum terus mempercayai kewujudan seseorang adiwira yang memakai sarung tangan logam bertatahkan permata yang boleh menyelesaikan semua masalah yang kita hadapi dengan memetik jarinya sambil berkata, "Akulah adiwira Metal Dude!"
Setiap politikus tahu akan kewujudan fenomena sains tingkah laku ini, begitu juga dengan bakal politikus yang bercita-cita tinggi serta jentera politik yang menyokong setiap penaja berbayar, dan mereka tidak teragak-agak untuk mengeksploitasinya untuk keuntungan mereka sendiri. Percayalah bahawa mereka benar-benar memanfaati sifat manusia biasa. Dalam setiap ucapan yang diberikan oleh setiap ahli politik di seluruh dunia, terdapat kebarangkalian yang tinggi bahawa kita akan mendengar frasa "Saya boleh lakukan [apa sahaja]..." atau "Saya berjanji [apa sahaja]...", tetapi kita jarang-jarang akan mendengar "Kita perlu usahakan bersama!". Mungkin kerana ianya bukanlah keperluan anda, keperluan saya mahupun keperluan masyarakat yang penting bagi seseorang politikus yang sekadar cuba melazimkan persepsi kita dengan menjaja naratif yang telahpun diuji untuk mencapai hajat mereka sendiri. “Akulah adiwira Metal Dude!”
Meskipun pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan terzahir untuk ahli sosiologi dan pakar sains tingkah laku di serata dunia bagi menyokong ahli politik yang mendakwa dirinya sebagai adiwira tersohor yang akan menyelamatkan dunia; "cognitive bias" juga menghalang kita, gabungan yang dikenali sebagai umat manusia, daripada mengenali protagonis sebenar yang betul-betul mampu menyelesaikan masalah yang kita hadapi setiap hari. Protagonis itu adalah setiap seorang daripada kita, berganding bahu dalam semangat muhibbah untuk mencari penyelesaian yang paling afdhal. Kita sering mengabaikan fakta ini kerana kita terlalu sibuk menjamin kelangsungan hidup kita dan ahli keluarga, bagi memastikan anak-anak cukup makan, cukup pakai dan mendapat pendidikan yang mereka perlukan. Ia sekadar resam dunia yang fana ini. Oleh sebab itu, kita terus berharap di dunia ini benar-benar wujud seorang adiwira berkebolehan ajaib yang berupaya menyelesaikan semua masalah dan meringankan beban harian kita. Alangkah baik sekiranya harapan itu mampu memberikan perkara yang kita dambakan.
Pada hakikatnya adiwira yang kita mimpikan tidak wujud. Saya akan tambah juga bahawa dalam setiap bentuk kitab yang dianggap suci, penampilan atau penjelmaan sesuatu watak yang maha kuasa dan sangat popular juga menandakan berakhirnya segala bentuk kehidupan, sama ada kita memilih untuk memanggilnya Hari Kiamat, Apocalypse mahupun Ragnarök.
Ia benar-benar terpulang kepada setiap seorang daripada kita untuk mencari jalan ke arah kerjasama bermuhibbah bagi mencari penyelesaian yang diperlukan untuk isu sosial, ekonomi dan geopolitik yang terus memberi kesan kepada kelangsungan hidup dan kesejahteraan kita semua. Ini adalah fakta yang paling jelas dan mudah; tidak wujud adiwira ajaib yang boleh kita amanahkan dengan usaha sebegini. Jika ada mana-mana politikus yang menegaskan bahawa dialah sebenarnya adiwira idaman kita dan dengan itu maka haruslah kita serahkan kepadanya undi dan wang, percayalah bahawa ia sekadar cubaan politikus berkenaan untuk mendapatkan dua benda tersebut dan mungkin juga undi kita tidaklah begitu penting kepada beliau.
Jika kita benar-benar mahukan dunia yang lebih baik untuk diri sendiri dan anak-anak, maka kitalah yang harus menggerakkan usaha bagi mewujudkannya. Bersama kita jadikan Esok lebih baik daripada Semalam!
Bagi menggalakkan pembangunan kandungan dalam Bahasa Melayu di platform Medium, artikel ini diterbitkan secara percuma dan tidak dikekang dengan sebarang "paywall". Saya menyeru kepada semua pembaca dan peminat agar menjadi ahli Medium supaya sama-sama dapat kita memertabatkan kandungan Bahasa Melayu di sebuah platform antarabangsa. Keahlian percuma sudah cukup baik bagi membolehkan anda menerbitkan nukilan tersendiri!