Terdapat perbezaan besar antara seorang pemimpin dengan seorang ahli politik.
Pemimpin dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada seluruh masyarakat untuk bekerjasama demi kebaikan bersama, mengatasi segala rintangan, dan mengubah diri dan persekitaran kita menjadi jauh lebih baik daripada sebelumnya. Pemimpin yang hebat membolehkan masyarakat umum mengatasi ketakutan, ketidakpastian dan keraguan pada jalan menuju suatu masa depan yang lebih baik. Sejarah membuktikan bahawa pemimpin yang benar-benar hebat mampu memberi inspirasi dan menyatukan seluruh benua, merentasi sempadan wilayah untuk mencetus perubahan transformatif.
Politikus pula amat terhad daripada segi keupayaan dan mutu perkhidmatan. Mereka lazimnya adalah pendokong konflik, penyebar kebencian mahupun sekadar penyebar khabar angin, tanpa membawa apa-apa selain daripada naratif dangkal dan petikan suara (yakni "sound bytes") yang bertujuan khusus untuk mengumpul dana dan menjamin kelangsungan hidup sendiri. Menyedari kekurangan keupayaan diri mereka sendiri, politikus tidak mencari jalan untuk berkerjasama: Pecah dan Perintah (atau "Divide and Conquer") merupakan strategi pilihan politikus pembaiki labu yang tidak dapat menjangkau luar daripada demografik sempit mereka sendiri. Populariti yang dirasakan oleh golongan ini tiada kaitan dengan mutu kepimpinan mereka (yakni kekurangan sifat tersebut), tetapi sebaliknya membayangkan kewujudan sebuah vakum kepimpinan.
Betapa seluruh dunia pada masa ini benar-benar memerlukan pemimpin yang hebat.
Lihat sahaja sekeliling kita: tidak kira sama ada anda berada di Eropah, Amerika, mahupun Asia atau Afrika. Ke mana sahaja kita pergi, sama ada di kawasan setempat, di negara yang jauh atau di media sosial, dunia ini kelihatan penuh dengan politikus dan mereka yang bercita-cita mahu menjadi politikus menjaja "Kebenaran Hakiki" versi mereka sendiri. Tiada seorangpun daripada politikus tersebut mampu menyatukan masyarakat sekeliling mereka; sekadar bergantung kepada slogan, naratif kempen, dan juga kepalsuan yang terang untuk memertabatkan kepentingan sendiri dan melazimkan strategi Pecah dan Perintah pilihan mereka. Niat sebenar mereka tidak pernah dinyatakan secara terbuka kerana topeng itu adalah sebahagian daripada tawaran kepada demografik pilihan, cara untuk mendapatkan apa yang mereka ingini. Motivasi sebenar seorang politikus, raison d'être-nya, adalah jauh lebih mudah: memperkayakan diri sendiri.
Perlukah saya menuding jari dan menamakan gerangan insan yang khusus? Jika anda tahu akan satu contoh, maka anda sudah tahu akan kesemuanya, kerana politikus wujud di mana-mana dan beroperasi dengan cara yang sama, tanpa mengira bahasa apa yang mereka pertuturkan atau kepercayaan apa yang mereka dakwa sebagai pegangan rohani sendiri. Saya berani mengatakan bahawa semua politikus sebenarnya menyembah "kuasa mutlak" yang sama: potret ketua negara, wira negara atau monumen besar yang dicetak di atas kertas berwarna yang disulami dengan serat logam dan lain-lain unsur keselamatan.
Ke mana perginya semua pemimpin kita yang tersohor? Rasanya seolah-olah tempoh hayat kita sedang berlalu tanpa inspirasi, semangat kerjasama dan keyakinan diri yang mampu diterapkan oleh seorang pemimpin hebat. Seluruh dunia kelihatan lebih hambar kerana kekurangan pemimpin yang hebat.
Ia bukanlah perisai berbintang yang menjadi punca kuasa seorang pemimpin, mahupun kuasa ajaib ala-ala Hollywood yang menobatkan pemimpin.
Apa yang menzahirkan seorang pemimpin yang hebat, pada pendapat saya, adalah keupayaan untuk mengatasi rintangan: keupayaan untuk mengimbangi kepentingan bersaing pelbagai demografik, kekuatan dalaman untuk menanggung beban tanggungjawab, dan kesabaran untuk bekerjasama dengan dan berusaha melalui pelbagai insan yang lain. Tambahan pula, intipati kepimpinan adalah untuk memimpin orang ramai, menyatukan masyarakat dan memberi inspirasi kepada setiap lapisannya, dan seterusnya mewujudkan kerjasama dan muhibbah yang diperlukan untuk mencapai matlamat yang inklusif dan mampan untuk seberapa ramai anggota masyarakat. Di sinilah terletaknya cabaran teras kepada mana-mana pemimpin: tidak semua konstituen mungkin akan mendapat manfaat daripada dasar tertentu, dengan itu amat perlu untuk merapati jurang yang dijangkakan dengan inisiatif pelengkap dan penyelesaian tambahan untuk mewujudkan faedah bertindih, gelombang lanjutan dan kesan berganda dalam ekosistem yang akhirnya memanfaatkan setiap anggota masyarakat.
Sekiranya visi di atas tentang apa yang dimaksudkan oleh kepimpinan seolah-olah hampir mustahil, ia disebabkan kepimpinan adalah satu kerjaya yang hampir tidak boleh dilaksanakan dengan jayanya. Menjadi seorang pemimpin adalah kerja berat, dan menjadi seorang pemimpin dengan tanggungjawab mentadbir seluruh masyarakat atau negara adalah tugasan yang amat berat sekali. Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa pemimpin yang benar-benar berwibawa bukanlah suatu spesis yang terancam dan pemimpin yang hebat masih belum pupus. Saya pasti terdapat ramai pemimpin di seluruh dunia, pemimpin yang menyatukan dan memberi inspirasi kepada masyarakat mereka jauh daripada silauan media sosial dan perhatian umum, secara senyap-senyap melakukan kerja yang diperlukan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat setempat.
Pada ketika ini, kita hanya boleh berharap bahawa pemimpin masyarakat sedemikian akan terus berkembang supaya mampu memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan. Doa penuh dambaan sahajalah yang kita ada buat masa ini, selain daripada seangkatan politikus murahan yang bermaharajalela di serata dunia.
Bersama kita jadikan Esok lebih baik daripada Semalam.
Bagi menggalakkan pembangunan kandungan dalam Bahasa Melayu di platform Medium, artikel ini diterbitkan secara percuma dan tidak dikekang dengan sebarang "paywall". Saya menyeru kepada semua pembaca dan peminat agar menjadi ahli Medium supaya sama-sama dapat kita memertabatkan kandungan Bahasa Melayu di sebuah platform antarabangsa. Keahlian percuma sudah cukup baik bagi membolehkan anda menerbitkan nukilan tersendiri!