MendukungMempercerahMendidik

Perihal kos dan kesan

Bak kata pepatah, “Setiap tindakan membawa kesan”, “Setiap faedah wujud dengan kos tertentu” dan “Tiada manfaat yang datang berguling tanpa usaha”. Acap kali mereka yang mendabik dada sebagai pemimpin dan mereka yang diberi mandat menggubal dasar awam dilihat mengabaikan unsur yang paling asas: kos dan kesan terhadap kehidupan harian rakyat yang timbul daripada tindakan eksekutif dan perlaksanaan dasar awam.

Kita semua mengenali pepatah yang menyebut bahawa setiap tindakan membawa kesan, setiap faedah nescaya akan ada kosnya yang tersendiri, tiada manfaat yang akan datang berguling tanpa sebarang usaha dan sebagainya. Oleh sebab itu, pihak yang berkenaan akan menjalankan analisis kos-faedah, perancangan senario dan pelbagai kajian lagi bagi menjangkakan segala kemungkinan yang bakal terhasil sebelum mengumumkan tindakan eksekutif, melaksanakan dasar awam mahupun melancarkan sebarang kempen. Namun, entah bagaimana, pihak yang sama terlihat seperti masih berjaya mengabaikan kos dan kesan terhadap kehidupan harian rakyat dan masyarakat umum yang timbul daripada tindakan eksekutif, dasar awam atau naratif kempen tersebut.


Rasanya seperti terlalu kerap kita melihat perlaksanaan dasar awam yang terkhilaf, sering benar kita membaca tentang tindakan eksekutif yang terlihat seolah-olah dilancarkan secara terburu-buru, atau kita memerhati kempen yang lebih cenderung kepada usaha memecah belah dan bukan memupuk perpaduan. Semua ini berlaku kerana kegagalan untuk mempertimbangkan aspek manusia, khususnya kos dan kesan ke atas kehidupan harian rakyat dan masyarakat secara amnya, di dalam kalkulus "Strategi Agung".


Adakah ia disebabkan oleh sifat riak? Bolehkah seseorang itu menjadi begitu angkuh sehingga dia menganggap bahawa formula hebatnya tidak mungkin gagal, bahawa kecerdikannya mengatasi 99.99% daripada semua makhluk hidup, bahawa beliau bertakhta di mercu semua kehidupan pintar yang diketahui wujud? Boleh jadi juga insan tersebut sekadar sedang mengalami sindrom "Metal Dude".


Seorang yang sangat saya hormati pernah memberitahu saya: "Jangan sekali-kali meminta nasihat untuk menjadi kaya daripada orang miskin, dan jangan sekali-kali bertanya kepada orang kaya apa yang diperlukan oleh orang miskin". Teladan bahawa kita harus sentiasa mendapatkan nasihat daripada sumber yang sesuai adalah jelas. Apa yang juga tersirat, dan yang saya masih percaya adalah pengajaran lebih penting yang ingin disampaikan oleh mentor saya itu, ialah kita mesti sentiasa berusaha untuk menjalin kerjasama di luar demografik kita sendiri. Tidak memadai untuk sekumpulan pakar yang berfikiran sama serta berlatar belakang atau memegang ijazah kedoktoran yang serupa untuk menggubal "Strategi Agung bagi Seluruh Masyarakat". Para saintis tingkah laku akan menyebut tentang kewujudan risiko "groupthink" (atau pemikiran kumpulan) dalam pendekatan sedemikian; sebagai seorang ahli strategi, saya akan menawarkan pemerhatian bahawa kerjasama yang sedemikian bakal tersasar kerana ketiadaan barisan peserta paling teras: wakil-wakil bagi masyarakat umum.


Saya akan mempercerahkan pemerhatian yang terakhir itu dengan beberapa contoh khusus, mengikut turutan berikut:


  1. Tinjauan suku tahunan oleh World Economics menunjukkan bahawa Afghanistan, Zimbabwe dan Nigeria adalah tiga negara dengan sektor ekonomi gelap yang terbesar di dunia. Pengalaman harian rakyat negara-negara tersebut adalah maklumat teras bagi sesiapa yang ingin memahami kesan daripada aktiviti ekonomi yang digiatkan di luar sistem rasmi pada tahap melampau, kesan terhadap ekonomi sesebuah negara dan masyarakat secara amnya, atau yang diistilahkan sebagai "pasaran gelap" atau "ekonomi tidak rasmi".
  2. Boston Consulting Group baru-baru ini telah menerbitkan analisis yang mendalami sektor ekonomi gelap, berasaskan pelbagai sumber maklumat dan data dari seluruh dunia. Masalah utama yang timbul daripada pertumbuhan ekonomi gelap di mana-mana negara adalah ia secara langsung menyumbang kepada aktiviti jenayah yang melihatkan kerugian kepada perbendaharaan awam, berlakunya eksploitasi manusia serta herotan data ekonomi yang akan membawa kepada defisit amanah dalam institusi tadbir urus dan masalah sosial yang berkaitan.
  3. Terdapat juga pemerhatian dan lain-lain petunjuk kualitatif bahawa pandemik Covid-19 dan tekanan kos sara hidup dalam era pasca pandemik telah mendorong lebih ramai anggota masyarakat ke arah sektor ekonomi gelap demi membela kelangsungan hidup keluarga sendiri. Pertumbuhan pesat ini dijangka akan berterusan selagi tekanan inflasi pasca pandemik berterusan, terutamanya di negara-negara yang sistem pematuhan atau institusi tadbir urusnya kurang canggih.

Bagi menyelesaikan masalah yang timbul daripada lonjakan dalam pertumbuhan sektor ekonomi gelap di pelbagai negara, mereka yang diberi mandat mentadbir atau menggubal dasar perlulah mengambil kira semua maklum balas daripada setiap lapisan masyarakat dan mempertimbangkan kos atau kesan terhadap kehidupan harian rakyat sebelum melaksanakan sebarang tindakan eksekutif mahupun dasar awam. Menggubal dasar yang hanya tertumpu kepada kewangan negara tanpa mengambil kira bagaimana kehidupan seharian rakyat akan terjejas hanya mendorong lebih ramai peserta baharu ke dalam sektor ekonomi gelap. Sebaliknya, cubaan menyelesaikan setiap satu isu yang dihadapi oleh setiap rakyat di sesebuah negara melalui pengagihan wang tunai mungkin juga akan menguras sumber awam sehingga perbendaharaan negara menjadi muflis.


Keseimbangan yang diperlukan untuk mencapai hasil yang positif bagi seramai mungkin rakyat perlu bermula seperti Sumpah Hippocrates yang diketahui setiap doktor dan pakar perubatan: pertama sekali, jangan menyebabkan kemudaratan. Sebarang analisis kos-faedah atau perancangan senario untuk perlaksanaan tindakan eksekutif atau dasar awam mesti sentiasa bermula dengan soalan "Apakah kesan idea ini terhadap kehidupan harian rakyat?". Ia merupakan soalan asas yang sesuai dengan persiapan perlaksanaan setiap bentuk dasar awam, sama ada dalam bidang diplomasi, percukaian, penjagaan kesihatan, imigresen mahupun pembangunan teknologi baharu. Untuk mencapai pendekatan yang seimbang itu, maklumbalas yang terangkum perlu dirisik daripada setiap lapisan masyarakat. Lagipun, apakah gunanya menyelesaikan hutang negara yang tinggi, jika strategi yang dilaksanakan hanya memindahkan hutang tersebut kepada individu dan isi rumah? Senario yang bakal tercapai sekadar memacu lebih ramai rakyat ke kancah ekonomi gelap, mewujudkan suatu "lingkaran azab" yang akan melihat pentadbiran awam yang lemah dan rakyat yang bertambah miskin.


Bagi pemimpin yang sedang menghadapi pelbagai isu sukar, saya akan tawarkan formula berikut: Pemimpin yang tidak membela rakyat negaranya adalah pemimpin yang tidak akan bertahan lama. Menyatupadukan setiap lapisan masyarakat, daripada golongan elit paling kaya sehingga demografik ekonomi paling marhaen, dalam sebuah solidariti erat untuk kebaikan bersama adalah perkara yang setiap pemimpin perlu lakukan bagi melihat hasil yang paling afdhal.


Bersama kita jadikan Esok lebih baik daripada Semalam.


Artikel ini telah diterbitkan di Medium

Langgani buletin IPOTESI

Langgani keahlian Medium

Bagi menggalakkan pembangunan kandungan dalam Bahasa Melayu di platform Medium, artikel ini diterbitkan secara percuma dan tidak dikekang dengan sebarang "paywall". Saya menyeru kepada semua pembaca dan peminat agar menjadi ahli Medium supaya sama-sama dapat kita memertabatkan kandungan Bahasa Melayu di sebuah platform antarabangsa. Keahlian percuma sudah cukup baik bagi membolehkan anda menerbitkan nukilan tersendiri!