Projek INGA telah menjalani suatu program latihan dari 8 April hingga 18 Jun yang lepas. Menggunakan maklumat dan data daripada pelbagai sumber, INGA dan algoritma yang berkait dengannya telah mensimulasikan kesan yang boleh dijangka daripada empat belas hipotesis inisiatif ekonomi bagi sebuah negara Asia Tenggara di bawah pelbagai senario, menilai hasil yang paling berkemungkinan, dan mengenal pasti sebarang jurang dalam pelbagai analisis yang telah dijalankan. Lanjutan daripada program latihan itu, hipotesis yang kelima belas telah dibentuk sebagai idea bagi sebuah dasar ekonomi tambahan.
"Selepas kejayaan ujian alfa bagi SOFIA tahun lepas, kami memutuskan untuk menilai keupayaan kesemua enam algoritma Project INGA apabila bekerjasama dalam suatu misi khusus," kata J.R. Abdullah, Pengarah Strategi di Pawana Associates.
J.R. menambah: “Kesemua ciri-ciri dan integrasi teras telah berfungsi pada tahap hampir akmal; saya katakan 'hampir' kerana NADIA masih mengalami sedikit kesukaran memproses sebilangan kecil kandungan yang diterbitkan dalam sistem abjad selain daripada rumi. Ini adalah sesuatu yang kita perlu perbaiki lagi. Selain dari isu tersebut, algoritma enam sekawan telah mencapai matlamat yang ditetapkan untuk program latihan. Saya amat berpuas hati kerana gabungan algoritma tersebut juga dapat mengenal pasti kelemahan khusus di dalam pelbagai analisa yang telah dijalankan; analisis jurang tersebut membentuk asas hipotesis kelima belas bagi suatu cadangan inisiatif ekonomi yang kami namakan Rancangan Mompracem".
Beberapa hasil simulasi dan analisis yang diperolehi daripada Projek INGA, kesemua empat belas hipotesis inisiatif ekonomi yang telah diuji serta Rancangan Mompracem telah diserap ke dalam sebuah e-book yang dijadualkan untuk terbitan pada bulan September 2024.
“Secara keseluruhannya, saya menyifatkan Operasi Mompracem sebagai 'misi tercapai' dan kami juga memperolehi beberapa pemerhatian yang amat berharga untuk pembangunan Projek INGA bagi fasa seterusnya. Saya menantikan peluang menjalankan suatu lagi latihan berlanjutan pada awal tahun 2025; kami akan menggunakan sebuah ekonomi Eropah yang lebih maju sebagai senario ujian,” kata J.R. bagi mengakhiri taklimat.
J.R. Abdullah ialah seorang pakar strategi dan pendukung dasar yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan, ekonomi dan kewangan. Dilahirkan di Malaysia dan mendapat pendidikan di Australia, beliau menempuhi karier profesional di pelbagai pelosok Asia dan Eropah. J.R. menyelidik dan menghasilkan nukilan bertemakan sosioekonomi dan dasar awam bagi memangkin transformasi positif ke arah pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan kesaksamaan sejagat yang lebih terangkum dan mampan. [www.jrabdullah.com]
Pawana Associates ialah sebuah gabungan profesional kepakaran pembangunan strategi dan organisasi dalam bidang pendukungan dasar dan libat urus awam. Memanfaatkan pelbagai kemahiran di seluruh rangkaiannya, daripada sains data dan ekonomi hingga ke komunikasi strategik dan libat urus setempat, Pawana Associates merangka strategi khusus yang berlandaskan analisis mendalam, persediaan lengkap, mobilisasi cekap serta perlaksanaan tepat bagi merealisasikan setiap objektif dan aspirasi. [www.pawana.associates]
Project INGA bermatlamat untuk membangunkan kecerdasan buatan generasi baharu bagi mencetus transformasi mampan dalam beberapa sektor utama termasuk keselamatan awam, kesihatan, pengangkutan, keselamatan industri dan pelbagai aktiviti ekonomi. [www.jrabdullah.com/projek-inga/]