"Selamat sejahtera kepada kamu".
Frasa “assalamu’alaikum” ialah satu bentuk ucapan yang mudah, namun mampu menyampaikan doa terbaik kita kepada insan yang menerima ucapan tersebut. Ia berfungsi sebagai salam perkenalan mahupun perpisahan. Sebutannya mudah dan penuh hormat. Ianya sesuai untuk pertemuan rasmi mahupun dalam konteks sosial. Ia membawa nada positif untuk memulakan musyawarah yang bermanfaat dan menyimpulkan perbincangan yang produktif dengan suatu doa penuh harapan.
Betapa seluruh dunia amat perlukan keamanan, kesejahteraan dan sedikit harapan pada waktu ini.
Setiap hari yang berlalu melihat pelbagai bentuk konflik di serata dunia, dan kos hariannya sangat tinggi. Orang awam yang tidak berdosa, termasuk terlalu ramai kanak-kanak, kehilangan nyawa mereka kerana ahli politik yang berbalah dalam konflik bersenjata. Pengguna media sosial, termasuk terlalu ramai kanak-kanak, umpama kehilangan akal dan budi pekerti mereka apabila ahli politik berbalah atas dasar "perang budaya" dan lain-lain bentuk konflik ideologi. Pengguna di seluruh dunia, termasuk terlalu ramai keluarga yang kurang berkemampuan, terpaksa menanggung peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal kerana ahli politik yang berbalah dalam perang ekonomi. Sama ada ianya dalam bentuk sekatan ke atas perdagangan antarabangsa bagi komponen elektronik, sekatan ke atas eksport produk makanan, atau larangan ke atas import produk tertentu; semuanya merupakan kaedah diplomasi yang sangat agresif, bertujuan untuk mempromosikan ideologi dan kepentingan diri sendiri lebih daripada keamanan mahupun kesejahteraan umat manusia.
Saya tidak akan berlagak sebagai penimbang tara isu-isu geopolitik semasa, tetapi saya ingin mempertengahkan satu pendapat: Perang dalam apa bentuk sekalipun adalah suatu musibah yang tidak mendatangkan sebarang faedah sama sekali, kecuali kepada politikus yang menangguk di air keruh serta kontraktor dan pembekal kegemaran mereka. Umat manusia yang menyokong peperangan yang dijaja semata-mata atas dasar ideologi sebenarnya sedang dipergunakan, disuap naratif politik pilihan politikus tersebut sambil dilayan dengan perhatian istimewa. Sama juga seperti kerbau dan lembu yang diberi makan secukupnya serta dijaga dengan sangat baik sebagai persiapan bagi sambutan Aidil Adha.
Seluruh umat manusia bakal membawa kejatuhan tamadun kemanusiaan dengan mengekalkan sifat-sifat paling negatif yang ada dalam diri kita: tamak, iri hati, riak dan cepat marah. Keinginan untuk sentiasa melebihkan bahagian sendiri, inginkan hak orang lain (sehingga sanggup mengambil apa yang bukan milik kita), keinginan untuk digambarkan dengan naratif paling indah dan melenting apabila kita tidak dapat apa yang diinginkan. Kita juga melayan ego sendiri dengan berpuak-puak atau membentuk kumpulan yang eksklusif, bahagia dibuai khayalan serta sifat riak sambil bebas daripada "beban" semangat muhibbah dan kerjasama.
Menyerah kepada naluri kemanusiaan yang paling negatif tersebut bakal membunuh kita semua. Meskipun ramai mungkin merasakan kenyataan ini terlalu dramatik, pada saya ianya suatu penilaian yang munasabah. Lihat sahaja di sekeliling anda apabila keluar makan angin nanti. Perhatikan tingkah laku manusia di sekitar anda. Beri perhatian khusus kepada tingkah laku anda sepanjang hari. Hakikat bahawa kita mengambil mudah tentang banyak perkara, dan saya mengakui juga kekhilafan saya sendiri dalam hal ini, telah membawa kita ke saat yang dunia kini berada pada tahap kritikal dengan fenomena cuaca melampau didorong oleh perubahan iklim akibat aktiviti manusia, kekurangan sumber air dan lain-lain sumber alam serta konflik yang berterusan dalam pelbagai bentuk. Kita perlu mencari jalan bagi menamatkan gaya hidup yang bakal membawa musibah serta mengubah cara kita berfikir tentang dunia sekeliling, sumber alam, dan umat manusia lain yang berkongsi planet ini.
Adakah matlamat di atas mustahil? Saya enggan mengalah dalam perkara ini.
Justeru itu, saya melancarkan sebuah projek melalui laman web ini, akaun-akaun media sosial yang berkaitan dan segala bentuk kandungan digital lain untuk mencetus pembaharuan dan transformasi yang positif bagi manfaat seluruh umat manusia. Saya tidak akan menghakimi sesiapa, baik yang masih hidup mahupun yang telah mati. Saya sekadar mencari cara terbaik bagi medorong kerjasama sesama insan supaya kita boleh mencari penyelesaian yang terbaik dan menzahirkan idea yang lebih bernas bagi pemimpin-pemimpin kita yang dimandatkan untuk membentuk dan melaksanakan dasar pentadbiran. Saya benar-benar percaya bahawa bersama kita boleh menjadikan Esok lebih baik daripada Semalam: bagi membina dunia yang lebih baik untuk mendokong pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan kesaksamaan sejagat yang lebih terangkum dan mampan.
Selamat sejahtera kepada semua.
Bagi menggalakkan pembangunan kandungan dalam Bahasa Melayu di platform Medium, artikel ini diterbitkan secara percuma dan tidak dikekang dengan sebarang "paywall". Saya menyeru kepada semua pembaca dan peminat agar menjadi ahli Medium supaya sama-sama dapat kita memertabatkan kandungan Bahasa Melayu di sebuah platform antarabangsa. Keahlian percuma sudah cukup baik bagi membolehkan anda menerbitkan nukilan tersendiri!