MendukungMempercerahMendidik

Matinya seekor dinasour

Suatu masa dahulu Tyrannosaurus Rex menguasai semua yang terlihat di wilayahnya. Kemudian gugur sebiji meteor disusuli zaman ais. Raja dinasour – terlalu besar untuk berlindung di dalam gua atau batang pokok, terlalu gah mahupun terlalu takut untuk meninggalkan wilayah yang dianggap miliknya, terlalu degil atau mungkin tidak cukup cerdik untuk menyesuaikan diri – akhirnya menjadi unsur statistik zaman prasejarah. Suatu kisah penuh kiasan.

Semua menyembah T-Rex yang perkasa, raja semua makhluk yang hidup di La Valle! Cuma pada ketika itu tiada makhluk lain yang hadir untuk memberi penghormatan kepada T-Rex. Mereka yang mempunyai sayap atau mampu merentas perjalanan yang jauh telahpun bergerak, mamalia kecil telah mula berlindung di dalam gua atau batang pokok, manakala sejumlah besar reptilia lain telah mati atau bakal pupus akibat semua perubahan yang sedang berlaku di La Valle. T-Rex cuba mengaum, tetapi hanya mengeluarkan keluhan. Pengalaman menjadi lemah dan tidak berdaya ini adalah sesuatu yang sangat baru baginya, sesuatu yang tidak pernah difikirkannya mungkin.


Walau apapun, T-Rex tidak pernah menyangka bahawa batu boleh jatuh dari langit.


Asteroid yang jatuh dari langit sebelum itu tiba pada kelajuan yang sangat tinggi, lebih pantas daripada T-Rex pernah bergerak. Ia mendarat, atau lebih tepatnya, menghantam pinggir wilayah La Valle dengan kuat sehingga bumi bergegar, bukit-bukau yang paling hampir dengan lokasi asteroid itu runtuh, dan setiap makhluk di La Valle diselubungi ketakutan. Begitu banyak habuk dan tanah berterbangan di atmosfera sehingga langit menjadi gelap dan cahaya matahari menjadi umpama gerhana yang kekal. Perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini, dan ia membingungkan T-Rex bahawa setiap makhluk yang hidup di La Valle, wilayahnya sejak lahir, menjadi lebih takut kepada langit yang gelap berbanding dengan tuan mereka. T-Rex teringat rasa terhina dan murka dengan perubahan tingkah laku mereka pada masa itu.


Plankton tasik merupakan yang pertama pupus selepas hentaman asteroid, tetapi pada T-Rex ia hanya jangkaan lazim bagi makhluk lemah di bahagian paling bawah rantai pemakanan. Tumbuh-tumbuhan pula menyusul selepas plankton akibat kekurangan cahaya matahari yang diperlukan bagi proses fotosintesis; itupun tidak penting bagi raja karnivor. T-Rex bukan pemakan tumbuhan dan menganggap bahawa makhluk sedemikian terletak jauh di bawah status pemangsa puncak seperti ia. Herbivor sekadar mangsa apabila T-Rex perlu makan.


Oleh kerana T-Rex bukanlah makhluk yang cenderung kepada bidang sains mahupun peminat penaakulan logik, telah terlepas daripada pemerhatian T-Rex bahawa lapisan bawah mana-mana rantai pemakanan mendukung keperluan lapisan di atasnya. Jika T-Rex berkemampuan menggambarkan hubungan simbiotik di kalangan semua makhluk yang hidup di La Valle, ia mungkin mampu merumuskan bahawa semua peringkat bawah rantai pemakanan berfungsi untuk mendukung keperluan karnivor dan pada akhirnya puncak piramid itu: T-Rex sendiri. Golongan karnivor lambat menyedari bahawa tumbuhan yang mati bakal memupuskan setiap herbivor, yang seterusnya akan menjejaskan bekalan makanan golongan karnivor. Akhirnya, setiap karnivor memangsakan satu sama lain apabila tidak memakan bangkai.


Penghijrahan herbivor bermula apabila iklim di La Valle berubah menjadi kurang panas dan reptilia bersayap mengikuti mereka. Mamalia kecil pula telah mencari perlindungan di dalam gua, batang pokok atau liang kecil yang tidak dapat dicerobohi oleh karnivor besar. Hakikatnya, perkembangan tersebutlah yang akan membantu memastikan kemandirian mamalia tatkala reptilia karnivor menghadapi bekalan makanan yang semakin berkurangan. T-Rex sendiri telah mula memangsakan karnivor lain, tetapi ia merupakan suatu usaha yang lebih berisiko daripada memangsakan herbivor. Karnivor akan melawan dengan tahap keganasan yang lebih tinggi daripada pemakan tumbuhan biasa. Ini adalah satu lagi pengalaman baharu untuk T-Rex, terpaksa bersabung nyawa sekadar untuk mendapatkan makanan kerana alternatifnya adalah mengais bangkai yang tidak memuaskan. Ia amat marah dengan segala perubahan yang sedang berlaku di La Valle. T-Rex tidak pernah mempertimbangkan untuk menyertai penghijrahan herbivor, tanpa mengira betapa banyak bakal mangsa yang membentuk karavan hijrah tersebut, kerana La Valle adalah jajahan haknya sejak lahir. T-Rex enggan meninggalkan La Valle kepada mamalia lemah yang kini bersembunyi dalam ketakutan di tempat perlindungan masing-masing. Ia tidak akan sekali-kali berlaku.


Bisikan akhirnya sampai ke T-Rex bahawa sebuah kawah asteroid telah terbentuk di pinggir La Valle, di lokasi asteroid menghentam bumi. Dikhabarkan bahawa terdapat tumbuh-tumbuhan yang terungkit oleh pergerakan tanah di sekeliling kawah, dan sekumpulan besar herbivor yang belum meninggalkan La Valle sedang berkumpul di tepi kawah tersebut, memakan tumbuh-tumbuhan yang reput. Khabar angin tersebut merupakan berita hebat untuk T-Rex yang mendambakan mangsa segar. Ia tidak mengira kekurangan logik khabar angin itu, tidak mengira herbivor di La Valle tidak pernah memakan tumbuhan reput, kerana sentiasa ada tumbuhan segar untuk dimakan. Keinginannya untuk daging segar mendorong T-Rex untuk melawat lokasi kawah asteroid di pinggir wilayahnya.


Sebilangan karnivor lain sedang berkumpul di tepi kawah asteroid ketika T-Rex tiba. Mereka semua telah mendengar khabar angin yang sama dan masing-masing mendapati bahawa bisikan tersebut terbukti tidak benar. Tiada kawanan herbivor di kawasan kawah asteroid, hanya karnivor yang telah mempercayai sebuah khabar angin. T-Rex enggan mengalah dengan begitu mudah, maka ia menghampiri tebing kawah untuk melihat sama ada terdapat herbivor di dalam kawah asteroid tersebut. Walau bagaimanapun, tanah di sepanjang tebing kawah itu sangat lembut dan tidak stabil, menyebabkan T-Rex tergelincir. Ia tergelincir dan jatuh berguling ke dalam kawah asteroid yang amat dalam. Kejatuhan itu merupakan satu lagi pengalaman baharu bagi pemangsa perkasa yang tidak pernah tersilap walau selangkah pun sepanjang hidupnya.


T-Rex terhentak pada asteroid di dalam kawah dengan bunyi dentuman kuat, mematahkan tulang belakangnya bagi menambah kesakitan pada kecederaan yang dialaminya akibat jatuh terguling di sepanjang cerun kawah. Tahap kesakitan yang baharu menyelubunginya, bersama dengan rasa marah, rasa malu dan suatu perasaan baharu: ketakutan. Sepanjang hayatnya T-Rex tidak pernah mengenali ketakutan, hatta ia tertanya-tanya apakah sebenarnya rasa tidak selamat dan ketidakpastian yang sedang dirasainya. Karnivor lain di tepi kawah hanya memerhati, tidak mahu mengalami apa yang baru sahaja berlaku kepada T-Rex. Padanya kedengaran seperti ada sebahagian daripada kumpulan karnivor tersebut yang ketawa, maka T-Rex meraung kemarahan. Karnivor yang berkumpul di tepi kawah asteroid hanya berpaling dan meninggalkan lokasi. Semua ini berlaku beberapa hari yang lepas.


T-Rex kini lemah akibat kelaparan dan kecederaan, tidak dapat bangun kerana tersepit di bawah asteroid, tidak terdaya mahupun mampu untuk bergerak. Ia terlalu lemah untuk meraung, terlalu lemah untuk cuba melepaskan diri, terlalu lemah untuk berbuat apa-apa melainkan beransur-ansur menjadi bangkai yang tidak bernyawa. Dan tidak lama kemudiannya itulah jua yang berlaku. Tiada makhluk lain yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang raja La Valle.


***

Terdapat teladan dalam kisah ini bagi setiap insan dan organisasi, tidak kira betapa maju atau perkasa kita menilai diri sendiri.


Dunia ini penuh dengan tanggapan tersasar, fahaman jumud dan sterotaip kurang bernas yang enggan pupus secara aman.


Selalunya jalan yang melihat aral yang paling sedikit membawa kita ke arah suatu perjalanan yang sangat menyakitkan, terutamanya apabila evolusi adalah keperluan asas untuk kesinambungan yang berterusan. Akan tiba masanya apabila evolusi menjadi amat perlu untuk maju ke hadapan, dan pada masa ini keperluan bagi sebuah evolusi minda menjangkau setiap umat manusia. Proses evolusi mungkin kelihatan menyakitkan kerana ia memerlukan pemecahan semua rutin, tabiat dan zon selesa yang dimiliki oleh setiap seorang daripada kita. Akan tetapi perubahan tidak semestinya hanya membawa kesakitan. Anggaplah proses evolusi minda tersebut sebagai penerokaan intelektual terhadap pendekatan yang baharu; suatu perjalanan untuk mengenali semula diri kita, dunia di sekeliling kita dan manusia lain yang berkongsi planet yang kita duduki bersama; satu proses menilai semula setiap perkara yang kita telah ambil mudah atau telah abaikan untuk memupuknya. Kita juga boleh mencari jalan untuk merealisasikan impian kita.


Bersama kita jadikan Esok lebih baik daripada Semalam.


Artikel ini telah diterbitkan di Medium

Langgani buletin IPOTESI

Langgani keahlian Medium

Bagi menggalakkan pembangunan kandungan dalam Bahasa Melayu di platform Medium, artikel ini diterbitkan secara percuma dan tidak dikekang dengan sebarang "paywall". Saya menyeru kepada semua pembaca dan peminat agar menjadi ahli Medium supaya sama-sama dapat kita memertabatkan kandungan Bahasa Melayu di sebuah platform antarabangsa. Keahlian percuma sudah cukup baik bagi membolehkan anda menerbitkan nukilan tersendiri!